Monday 6 March 2017

Penyelesaian Akhir



Ketika Zaaba menulis mengenai bangsa Melayu sekitar tahun 1920an, pemikiran pendita Zaaba pun di perlekehkan oleh orang Melayu. Kalau kita baca buku Jejak2 di Pantai Zaman oleh Prof Ungku Aziz, kita boleh baca perihal ejen pemerintah ketika itu, mengejek tulisan Zaaba. Dan yang menghina itu orang Melayu.
Demikian juga hari ini, ejen2 pemerintah yang enggan berbahas secara beradab, mengejek pandangan kita yang berbeza hanya kerana mereka tidak terdaya menghasilkan hujjah bantahan. Saya sudah kata berulang kali- mereka berhak berpegang kepada pandangan mereka asal sahaja mengiktiraf hak yang sama ada pada yang tidak bersetuju dengan mereka. 
Sayang sekali mereka tidak demikian-mereka memilih untuk menggelar lawan dengan nama2 dan gelaran2 yang buruk, , membunuh karakter dan sebagainya. Ada juga yang seolah olah bercakap bagi pihak Tuhan mengingatkan kita bahawa Tuhan akan tanya kita di akhirat kelak. Sikap yang demikian bertolak dari kepercayaan yang berat sebelah yakni bersangkaan bahawa hanya pandangan mereka sahaja yang sempurna. Agak nya golongan ini ada talian lansung dengan Tuhan. Janganlah berlagak sombong menghukum orang yang tidak setuju dengan jalan fikiran kamu. 
Saya cukup benci dengan orang yang menyangka bahawa mereka lebih Islam atau lebih morally superior dari kita. Walhal dia baca kitab yang serupa dengan kita, sembahyang pun sama dengan kita.
Fakta nya , ada terdapat sebahagian dari orang kita Melayu yang enggan menerima bahawa musibah yang melanda orang Melayu hari ini dilakukan oleh orang Melayu. Yakni Melayu yang pegang tampuk pemerintahan. Dan Melayu yang berkuasa hari ini ialah orang UMNO.  
Kenapa kita salahkan orang lain jika bangsa kita ditimpa musibah dan malapetaka? Kita tuai apa yang kita tanam. Kita mendapat apa yang kita usahakan. lihat Al Quran 53:39-40.  Kita sokong dan muliakan pemimpin yang mencuri dan korap- kita dapatlah sebuah kerajaan yang korap dan rasuah. Bukan ada misteri. Kita pilih pemimpin yang koro, maka kemajuan yang kita perolehi ialah bertaraf koro.
Orang Melayu yang menegur pemimpin Melayu kerana melakukan kemungkaran- melakukan demikian bukan sebab dia budak suruhan cina, tapi membenci pelaku kemungkaran.
Sejak 1955, pemerintahan negara kita dikuasai oleh orang Melayu dalam UMNO. Tidak ada orang lain dan tidak ada bangsa lain. Kerajaan yang boleh melakukan kebaikan jugalah yang melakukan kejahatan. Bila melakukan kejahatan, janganlah persalahkan orang lain.
Hari ini, pemerintah melakukan banyak keburukan dari kebaikan. Punca nya ialah pemimpin yang korap dan budaya korapsi sudah menular ke peringkat setiap lapisan pembuat keputusan dan dikalangan mereka yang ada kuasa.
Bayangkan bagaimana ejen2 pemerintah hari ini akan menyula Zaaba bila dia berkata bahawa keadaan orang Melayu disebabkan kezaliman pemerintah raja2 mereka yang dahulu dahulu. Tentu sekali Zaaba akan diwarnakan sebagai 'salah seorang Melayu' yang menjual jiwa kepada tuan2 nya yang anti Melayu dan kafirun. Perhatikan bila tidak ada modal, golongan ini suka menggelar nama buruk keatas saingan mereka. Kafirun, munafiqun dll.
Hari ini kita ada 'raja' Melayu yang berwajah baru. Mereka memerintah secara absolute, menggunakan undang2 dan hukuman untuk mengancam dan mengugut rakyat dan golongan yang menentang mereka. Ejen2 dan penyokong mereka akan menggunakan segala perkakas untuk mengalahkan pihak lawan- mengejek, menghina, mendusta, menggelarkan lawan dengan istilah2 jelek- tali barut, anjing suruhan dan sebagainya. Mereka tidak ada isi penghujjahan untuk berlawan.  
Itu sebabnya, kita mesti terus beri penghujjahan, menulis dan sebagainya, supaya orang Melayu boleh menimbang buruk dan baik. Sebab kita mesti melawan penganjur2 nista dan cacian yang bertugas sebagai tong2 kosong.Kita akan teruskan usaha mendedah hipokrasi pemimpin UMNO dan mereka yang bertopengkan Islam.Kita akan terus lawan golongan maki wa hamun. 
Penilaian Semula.
Marilah kita orang Melayu memikirkan perkara ini. UMNO kata masaalah orang Melayu sekarang- miskin, mundur, berpendapatan rendah sekali, kurang pencapaian pendidikan, Islam agama mereka tidak dimuliakan- semua ini disebabkan orang Cina. Yang memimpin cina yang anti Melayu, anti Islam dan anti raja Melayu mereka kata ialah DAP. 
Seperti kata Sanusi Junid- yang melaksanakan GST bukan DAP, yang menghilangkan tanah resev Melayu bukan DAP, yang mencuri wang melebihi RM4.2 billion bukan DAP, yang mencipta 1MDB bukan DAP, yang menyebabkan 95,000 peneroka berhutang membeli saham FGV dan menanggung hutang, juga bukan DAP. Semua itu dilakukan oleh Najib dan kerajaan nya. Mereka semua Melayu. Yang dikata oleh Wall Street Journal mencuri USD1 billion bukan orang Cina yang bernama Kit Siang tapi Melayu yang bernama Najib Tun Razak.
Menyalahkan orang cina dan DAP ialah naratif atau pengkisahan yang Najib lakukan. Dia akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan. Bahkan dia tidak peduli jika UMNO memberi laluan kepada PAS. Yang dia pentingkan ialah mengekalkan kuasa kerajaan Federal. 
Jadi, walaupun UMNO Kelantan berasa yakin memerintah Kelantan, Najib sanggup mengorbankan Kelantan asal sahaja kerajaan persekutuan dalam genggaman nya. Putihlah mata UMNO Kelantan walaupun mereka mengecam kuat kegagalan kerajaan PAS Kelantan. PAS tahu mereka diperlukan oleh Najib. 

Persalahkan orang lain, bukan diri sendiri
Jatuh mulia bangsa Melayu, jatuh mulia agama mereka, jatuh mulia raja Melayu, sebabnya ialah orang Cina. Bagaimana pengkisahan seperti ini, boleh mempengaruhi bangsa Melayu? Sukar untuk saya menerima, bangsa Melayu tidak membaca, tidak berfikir , tidak berdebat dengan rakan dan tolan. 
Itulah cerita seram yang disemai dalam minda orang Melayu. Umum mengetahui bahawa fahaman tahyul dan kepercayaan kepada hantu jembalang dan pelesit manjangan, sangat menebal dalam psyche orang Melayu. Jadi bila cina dan DAP itu digambarkan sebagai hantu jembalang, orang Melayu merasa takut.  Takut ini takut yang tidak rasional.
Apa yang sudah dilakukan oleh orang Cina? Bagaimanakah nasib dan destiny bangsa Melayu bergantung kepada bangsa lain? Jatuh bangun bangsa kita yang beragama Islam ditentukan oleh orang lain?

Inilah penceritaan atau naratif yang saban hari disibar oleh UMNO dan rakan baru mereka, PAS. Benarlah kata2 seorang ustaz satu masa dahulu- wa halalan jika kongsi sama, wa haramun, jika makan sorang. 
Bagaimana solusi nya?

Katalah ini semua benar. Bagaimana kita mengatasi nya? Mulai hari ini kita benam semua cina, humban mereka ke laut, haramkan parti DAP, maka masaalah Melayu yang dikatakan UMNO itu dan sekarang ini disokong pula oleh PAS, selesai?

Cuba beritahu kita, bagaimana menghilangkan bangsa cina menyelesaikan masaalah Melayu miskin? Melayu itu miskin, sebab dia tidak ada tanah, dia tidak cukup modal, dia kurang latihan teknikal dan kemahiran, dia tidak cukup alat kelengkapan minda dan fisikal, Melayu itu miskin sebab sistem ekonomi mengayakan yang kaya dan golongan terplih. 
Cina menyebabkan Melayu tidak berumah? Jika harga rumah diluar kemampuan, mustahil lah Melayu membeli nya. Apabila Melayu tak mampu beli rumah yang mahal,  quota bumiputera ditukar untuk wang dari pemaju cina. Dan yang melakukan penukaran itu ialah Melayu lah juga.
Johor kata sejak 2013, 3000 unit rumah/kedai untuk Melayu ditukar kepada open title. Johor dapat hasil dan boleh bina 6000 buah rumah melalui membenarkan penukaran status tersebut. Bila jual 3000 unit untuk dapat 6000 unit, tentulah mutu rumah itu rendah dari mutu rumah 3000 unit. Adakah ini bermakna, orang Melayu hanya layak tinggal dalam rebanan ayam? Inikah pencapaian yang dilaungkan oleh pemimpin UMNO? 
Melayu berpenghasilan serta berproduktiviti rendah? Ini menyebabkan Melayu miskin dan menyelesaikan masaalah ini, memerlukan peningkatan pendapatan; jika produktiviti rendah, penyelesaian nya memerlukan latihan dan perlengkapan ilmu dan teknoloji.Tidak cukup modal memerlukan pemberian kredit yang dipermudahkan.

Tidak ada orang yang waras pemikiran mereka akan percaya solusi muktamad ialah menghapuskan bangsa bukan Melayu. Hitler and Himmler sahaja yang meyakini the final solution. Adakah kita orang Melayu dan bergama Islam sudah menjadi Nazi? 

Sebab orang yang waras berfikir, sedar dan tahu bahawa ini semua usaha UMNO menutup korapsi mereka dan pemimpin mereka. Ianya penceritaan untuk menyembunyikan kemungkaran yang dilakukan. 



Kepada orang Melayu silalah sedar- punca kegagalan ialah pada diri sendiri jua. Kalau Melayu gagal dalam berbagai cabang hidup- ianya kerana pemimpin mereka gagal mengatur system kehidupan yang baik. Orang Melayu tidak boleh beroperasi dibawah sistem yang korap yang menyebelahi yang korap dan rasuah.

Kambing hitam untuk UMNO ialah cina dan DAP.Kita orang Melayu hanya perlu tanya soalan ini; menyedari ini semua angkara durjana bangsa Cina, mencukupi untuk sekoyong koyong selesai semua masaalah Melayu? Adakah kesedaran bahawa segala permasaalahan orang Melayu disebabkan oleh cina, ialah kunci ajaib yang menyelesaikan masaalah Melayu mundur, miskin, teraniaya, kurang berumah, kehilangan tanah resev, dan sebagainya?

Mengetahui bahawa semua ini disebabkan oleh orang cina akan segera membaiki pendapatan per kapita orang Melayu, merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, merapatkan kesenjangan pendapatan orang Melayu dengan Melayu, meningkatkan dengan segera kekurangan pencapaain pendidikan Melayu, selesai dengan cepat kesukaan Melayu melakukan jinayah? 
Marilah kita melihat kebenaran. Musibah yang menimpa orang Melayu ialah kerana kerajaan orang Melayu itu buas, korap dan rasuah. Kita beri pemimpin amanah, mereka membeloti amanah kita; kita beri mereka kuasa, mereka guna kuasa tersebut untuk mengayakan diri mereka dan menekan rakyat; kita beri dia kebebasan sebagai eksekutif, dia melaksanakan dasar2 yang menyusahkan rakyat.
Sekali lagi, kita tuai apa yang kita tanam.  




2 comments:

  1. Integriti itu adalah Integriti apabila kita buat apa yang betul bila tidak di kawal siapapun atau olih undang undang.

    ReplyDelete
  2. Saya sangat bersetuju dengan pendapat tuan. Orang Melayu mudah dipengaruhi pendapat masyarakat sendiri.

    Saya pernah berbincang dengan rakan Melayu bagaimana caranya untuk lebih fasih berbahasa Inggeris tetapi katanya, jika dia bercakap dalam Bahasa Inggeris bila di kampungnya, dia akan dituduh berlagak sebab 'speaking'. Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan setiap rakyat mesti tahu sekurang-kurangnya bertutur bahasa ini. Bahasa Inggeris adalah bahasa untuk pembelajaran dan perkembangan karier. Apa jua bahasa yang diperlukan untuk kita maju dan berjaya dalam hidup, kita boleh dan patut pelajari. Semasa menjadi 'interviewer', saya pernah menerima permohonan dari pemohon yang mengatakan mereka berhasrat dengan kerja itu tetapi tidak boleh berbahasa Inggeris. Syarikat saya berurusan dengan pegawai syarikat dari negara Jerman, Singapura dan Hong Kong. Adakah mereka mesti dipaksa belajar bahasa Malaysia. Ya, jika memang syarikat kami monopoli. Tidak, jika kita hendak berurusan dengan negara luar.

    Satu lagi kelemahan orang Melayu adalah tidak sanggup memberikan 101%. Saya pernah bekerja dengan syarikat 'public listed' Melayu. Masa bekerja bermula 830pagi. Setengah jam yang bernama digunakan untuk berbual berkenaan kasut, beli belah dan siapa yang menang dalam bilik tidur,rambut siapa lagi cantik. Bila masa sembahyang, masuk surau dan tidur. Bos kami terpaksa mencarinya merata tempat. Bila ditegur, tidak gembira pula. Tepat masa pukul 5 petang, dengan cepat dia menghilang. Ada hairankah syarikat ini akhirnya lingkup?

    Orang Melayu sebenarnya mendapat banyak insentif dari kerajaan kerana mereka orang Melayu jadi jika bersungguh-sungguh untuk mendapatkan capai kehidupan yang lebih baik, tidak mungkin tidak boleh dicapai. Jika tidak menggunakan peluang ini, tidak boleh salahkan orang lain dan tidak boleh dengki bila kaum lain berjaya.






    ReplyDelete